UKMSC ISN TANDATANGANI MOU PENJAGAAN PERUBATAN KOMPREHENSIF UNTUK ATLET

KUALA LUMPUR – UKM Specialist Center (UKMSC) dan Institut Sukan Negara (ISN) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk penjagaan perubatan yang komprehensif untuk para atlet kebangsaan yang mengalami kecederaan.

Menurut Pengarah Perubatan UKMSC, Profesor Madya Datuk Dr Badrul Akmal Hisham Md Yusoff, selain kecederaan fizikal, ia juga akan menjadi pusat sehenti untuk trauma sukan.

“Langkah ISN untuk melibatkan UKM sebagai pusat perubatan akademik adalah sesuatu yang strategik dan bakal membawa faedah jangka panjang.

“Pendekatan berasaskan bukti yang diamalkan pusat itu juga dapat memastikan atlet menerima rawatan terbaik berdasarkan kecederaan mereka. Hal ini penting untuk mengekalkan potensi mereka sebagai atlet yang berjaya,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN, Ahmad Faedzal Md Ramlee berkata, beliau berasa amat bersyukur dengan kerjasama yang dijalankan dengan pihak UKMSC itu.

“Saya percaya kerjasama ini akan meningkatkan prestasi dan kesejahteraan atlet kebangsaan Malaysia.

“Kami akan terus komited dan lebih teliti supaya dapat memberi rawatan lebih komprehensif dalam pengurusan atlet yang mengalami kecederaan,” tambahnya.

Majlis menandatangani MoU tersebut telah disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, semalam.

Di bawah terma MOU, UKMSC akan menawarkan kepakaran dalam perubatan sukan, ortopedik, fisioterapi, dan bidang berkaitan lain kepada atlet elit ISN. Perkongsian ini akan menyediakan akses kepada kemudahan perubatan terkini, peralatan diagnostik maju, dan pasukan profesional penjagaan kesihatan yang berkemahiran tinggi.

Capaian: https://malaysiagazette.com/2024/10/23/ukmsc-isn-tandatangani-mou-penjagaan-perubatan-komprehensif-untuk-atlet/