UDA PERKUKUH PENDIGITALAN, KELESTARIAN BANDAR MAMPAN
21 JANUARI 2024
KUALA LUMPUR: Seramai 242 mahasiswa dari 25 pusat pengajian tinggi, menyertai GreenCity Augmented Reality (AR) iPad Challenge: Shaping Sustainable Urban Cities iaitu pertandingan reka bentuk bandar mampan dalam AR menggunakan peranti Apple iPad.
Pertandingan itu dianjurkan oleh UDA Holdings Berhad (UDA) dengan kerjasama Apple Professional Learning Malaysia (APLM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Pakarunding bermula 14 Oktober hingga 5 November 2023 lalu.
Pertandingan yang julung kali diadakan itu bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman baharu kepada pelajar untuk memanfaatkan teknologi digital interaktif dalam bidang reka bentuk.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd Salem Kailany, berkata penganjuran pertandingan itu antara inisiatif UDA menyokong hasrat kerajaan dan juga bertepatan dengan matlamat kelestarian UDA.
Katanya, inovasi membangunkan ‘AR City Model’ bagi pembangunan di atas tanah milik UDA di Fasa 4 Bandar Tun Hussein Onn, Mukim Cheras, Daerah Hulu Langat, Selangor itu mampu menyumbang kepada pembangunan mampan, seterusnya mewujudkan bandar lestari untuk kesejahteraan komuniti.
“Saya berharap usaha ini dapat memberi manfaat serta pengalaman kepada peserta terutamanya dalam menempuh cabaran alam pekerjaan sebenar.
“Penganjuran pertandingan turut bertujuan merealisasikan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA iaitu UDA Cares Educational.
“Ia memfokuskan kepada pengembangan bakat generasi muda di mana pelajar berpeluang mengasah bakat dalam pembangunan bandar mampan menerusi perancangan dan pengurusan bandar,” katanya pada Pertandingan Akhir GreenCity AR iPad Challenge: Shaping Sustainable Urban Cities di sini, semalam.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Pegawai Operasi Perkhidmatan Korporat Kumpulan UDA, Reza Huzairi Zainudin.
Beliau berkata, syarikat pembangunan hartanah dan pengurusan aset itu sentiasa memberi tumpuan dalam pembangunan hartanah dan pengurusan aset negara.
Pada masa sama, katanya pihaknya komited menggalas peranan sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Selain itu, UDA turut mengimbangi antara aktiviti pembangunan dengan kemampanan alam sekitar dan ekosistem serta menyambut baik aspirasi kerajaan menuju ke arah kelestarian negara menjelang 2050,” katanya.
Penyertaan pertandingan adalah secara berkumpulan yang terdiri daripada empat hingga enam ahli dengan jumlah sebanyak 46 kumpulan.
Peserta dikehendaki menghadiri sesi taklimat berkenaan lokasi pembangunan bersama UDA serta sesi pembelajaran menerusi webinar bersama tenaga pengajar APLM dan UKM Pakarunding sebelum memulakan proses mencipta reka bentuk bandar mampan.
Sepuluh kumpulan teratas dipilih bagi menentukan lima kumpulan terbaik untuk ke peringkat akhir seterusnya membentangkan idea dan reka bentuk kepada barisan juri sebelum penentuan barisan pemenang.
Juara pertandingan itu adalah Kumpulan KMKt Cemerlang dari Kolej Matrikulasi Kelantan dengan projek City Batukam sekali gus menerima hadiah wang tunai sebanyak RM12,000.
Tempat kedua, dimenangi Kumpulan GreenScape City dari Politeknik Ungku Omar dengan projek Pioneering Sustainable Urban Living dan membolehkah mereka membawa pulang wang tunai RM9,000.
Tempat ketiga, dimenangi oleh Kumpulan Polycity Builders dari Politeknik Ungku Omar dengan projek Labu Sayong Eco City dan memenangi wang tunai RM6,000.
Sebanyak tujuh kumpulan lain pula menerima wang saguhati sebanyak RM1,800 bagi setiap kumpulan.
— BH ONLINE