UKMM, RADICARE JALIN KERJASAMA PERKUKUH PERKHIDMATAN PENJAGAAN KESIHATAN BERASASKAN TEKNOLOGI HIJAU

KUALA LUMPUR, 27 Jan 2025, UKM Medicare Sdn Bhd (UKMM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dan tiga anak syarikat Radicare (M) Sdn Bhd dalam mengukuhkan penyampaian perkhidmatan selain memacu penggunaan teknologi hijau bagi meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga di fasiliti penjagaan kesihatan.

Tiga anak syarikat itu adalah Radifems Sdn Bhd, Radibems Sdn Bhd, dan Medilaund (M) Sdn Bhd.

MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UKM Holdings Sdn Bhd Mohd Rizal Zubair dan Ketua Pegawai Eksekutif Radicare (M) Sdn Bhd Hidaya Yahaya yang disaksikan Ketua Operasi UKMM Nur Nasuhani Rahmat, baru-baru ini.

Mohd Rizal berkata kerjasama itu tujuan utamanya adalah memperkukuhkan sektor perubatan negara ke arah kecekapan penggunaan tenaga demi alam sekitar.

“Sinergi antara UKMM dan Anak syarikat Radicare mampu membawa perubahan positif kepada industri penjagaan kesihatan di Malaysia, khususnya kemudahan-kemudahan kesihatan yang disediakan UKMM sendiri.

“MoU ini membuka peluang bagi proses pengawalseliaan yang lebih efisien sekali gus mendorong pemeliharaan alam sekitar dan pelaksanaan teknologi hijau,” katanya kepada Bernama selepas majlis MoU berkenaan, di sini.

Katanya, kerjasama tersebut bakal memperkukuhkan daya saing UKMM dalam menawarkan perkhidmatan kesihatan yang lebih holistik, menyeluruh, dan inklusif.

Sementara itu, Hidaya berkata kolaborasi antara UKMM dan anak syarikat Radicare dijangka membawa perubahan positif dengan meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh sektor perubatan negara selain mewujudkan inisiatif inovatif dalam penjagaan kesihatan.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen anak syarikat Radicare untuk memanfaatkan kekuatan bersama demi mencapai matlamat bersama dalam sektor penjagaan kesihatan,” katanya sambil menambah Kumpulan Radicare telah memberi perkhidmatan kepada 45 buah hospital kerajaan dan kini meluaskan pasaran di hospital-hospital universiti di negara ini.

Pengurus Besar Radifems Sdn Bhd Mohd Rozi Mat Noh berkata syarikat itu yang mementingkan kelestarian yakin teknologi hijau yang akan dilaksanakan untuk meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga di fasiliti penjagaan sekitar, sejajar dengan usaha menjaga alam sekitar dan memacu pembangunan selari.

Syed Jalal Syed Shuhaimi yang merupakan Pengurus Besar Medilaund (M) Sdn Bhd pula berkata kerjasama yang dijalin mencerminkan komitmen untuk memanfaatkan kekuatan bersama demi mencapai matlamat bersama dalam sektor penjagaan kesihatan.

“Kerjasama ini dijangka meningkatkan kualiti rawatan pesakit melalui pengoptimuman kecekapan tenaga, pengunaan teknologi hijau, dan penyediaan penyelesaian penjagaan kesihatan yang lebih efektif untuk masyarakat,” katanya sambil menambah Medilaund merupakan syarikat mengusahakan perusahaan linen dan dobi fasiliti kesihatan antara yang terbesar di Asia Tenggara.

Capaian: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2387196